Anak Zina, Taklayak masuk syurga?

Assalamualaikum!

Sekarang Kusyi nak share this.. Jom baca! :)

Zina  adalah salah satu dosa besar, bahkan penzina diragui keimanannya. Sabda Rasulullah saw, maksudnya: “Tidak akan mencuri seorang pencuri di kala ia mencuri ianya seorang mukmin. Tidak akan berzina seorang penzina di kala ia berzina ianya seorang mukmin dan tidak akan minum arak  seorang peminum  di kala ia minum ianya seorang mukmin”. Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud dan al-Nasaie.

Kejahatan zina ini diancam dengan hukuman di dunia dan seksaan di akhirat. Di dunia pelaku zina yang muhsan (pasangan lelaki dan perempuan yang pernah melalui perkahwinan yang sah) dikenakan hukuman rejam sampai mati dan yang bukan muhsan (pasangan lelaki dan perempuan yang belum melalui perkahwinan yang sah) dikenakan hukuman sebat dengan rotan sebanyak seratus kali dan dibuang daerah selama setahun. Akan tetapi serupa juga dengan dosa-dosa lain, maka dosa zina tidak akan melibatkan orang lain yang tidak bersalah. Hanya orang yang melakukan zina dan orang yang bersubahat sahaja yang terlibat dengan dosa.

 Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah! Apakah aku akan mencari tuhan selain Allah padahal Dia adalah Tuhan segala sesuatu, dan tidaklah seseorang membuat dosa melainkan kemudaratan kembali kepada dirinya sendiri, dan seseorang yang membuat dosa tidak akan memikul dosa orang lain (masing-masing memikul dosa sendiri) kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali dan akan diberitakan kepada kamu apa yang kamu perselisihkan”.  (Surah al-An’am: 164).

Di dalam ayat ini Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawasanya orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak akan memperolehi selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian akan diberikan balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna”. (Surah al-Najm: 38 – 41).

Di dalam ayat lain Allah berfirman, maksudnya: “Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah) maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul”. (Surah al-Isra: 15).

Dan selanjutnya Allah berfirman lagi, maksudnya: “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain dan jika seseorang yang berat dosanya dan memanggil (orang lain) untuk memikul dosa itu tidaklah akan dipikul untuknya sedikitpun, meskipun (yang dipanggil itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut pada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihatnya dan mereka mendirikan solat, dan barangsiapa yang mensucikan  dirinya sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allahlah tempat kamu kembali”.  (Surah Fatir: 18).

Semua ayat tersebut dengan tegas dan pasti menolak kepercayaan atau khurafat bahawa anak zina tidak dapat masuk syurga. Khurafat itu didasarkan kepada hadis maudu’ yang bermaksud: “Anak zina dan seluruh keturunannya tidak dapat  masuk syurga sampai  tujuh keturunan
Hadis tersebut bukan saja hadis palsu malah, kandungan isinya berlawanan dengan semua dasar agama. Ia berlawanan dengan ayat-ayat al-Quran, hadis, ijmak ulama dan bertentangan dengan akal yang waras.

Hadis ini disebut oleh Ibnu al-Jauzi dari Ismail bin Ahmad dari Abu Hurairah r.a. dan beliau berkata hadis ini tidak sah.

Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani menyebut hadis ini daripada riwayat al-Tabrani dalam al-Ausat dan beliau berkata: hadis ini batal. (Al-Maudu’at, 3 : 111, Silsilah al-Ahadith al-Da’ifat wa al-Maudu’at, 3 : 1287)

Dalam riwayat lain disebut bahawa Rasulullah saw. bersabda, maksudnya,“Anak zina, bapanya dan cucunya tidak masuk syurga”.
Dan dalam riwayat lain lagi, disebut bahawa Rasulullah saw bersabda, maksudnya, “Anak zina tidak masuk syurga.”
Semua riwayat di atas adalah tidak sah dan batal. (Al-Maudu’at, 3 : 110 -111)
Terdapat  hadis-hadis lain lagi yang dijadikan hujah di dalam perkara ini, antaranya  ialah:
  • Al-Uqaili meriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda, maksudnya, “Anak-anak  zina akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam  rupa kera dan babi”.
Kata Ibn. al-Jauzi: Hadis ini maudu’, tiada asalnya. Demikian pula kata al-Syaukani dan dipersetujui oleh al-Sayuti.
  • Al-Daruqutni meriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah saw telah bersabda, maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menderhakai ibu bapa, pengungkit, orang Arab yang murtad selepas hijrah, anak zina dan orang yang berzina dengan mahramnya”.
Kata Ibn. al-Jauzi: Hadis ini maudu’ dan tidak sah. Kata al-Syaukani: Hadis ini tiada asalnya.
  • Abu Ya’li meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-‘As bahawa Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Tidak akan masuk syurga anak zina, tidak juga orang yang menderhakai ibu bapanya dan tidak juga  penagih arak”.
Hadis ini juga tidak sah (maudu’) kerana dalam sanadnya terdapat orang-orang yang tidak dikenali (majhul)

Sebenarnya tidak ada sebuah hadis pun yang sahih yang mengatakan anak zina tidak dapat masuk syurga, lagipun hadis-hadis tersebut terang-terangan berlawanan dengan dasar agama yang sah dan akal fikiran yang waras. Anak sah bukan menjadi syarat untuk masuk syurga. Syarat untuk masuk syurga ialah iman dan amal soleh. Semua orang yang beriman dan beramal soleh dijamin masuk syurga baik ianya anak halal mahupun anak haram. Dan sesiapa yang kafir dan berbuat maksiat akan dimasukkan ke neraka.

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh dari kalangan lelaki atau wanita, sedangkan dia beriman, maka kami akan hidupkan dia dengan penghidupan yang baik dan kami akan tunaikan kepada mereka akan ganjaran mereka dengan lebih baik dari apa yang pernah mereka kerjakan”.(Surah al-Nahl : ayat 97).

Sesungguhnya orang-orang yang baik itu akan berada dalam kenikmatan (syurga), dan sesungguhnya orang yang jahat itu akan berada di dalam neraka”. (Surah al-Infitar: 3-14).
Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal abadi di dalamnya”. (Surah al-Baqarah: 39)

Demikianlah ketentuan Allah, dan ketentuan Allah itu tidak akan berubah. Anak zina tidak sama sekali berdosa dan terlibat dengan dosa kedua ibu bapanya. Dia tetap suci seperti anak halal juga. Yang bersalah dan berdosa ialah kedua ibu bapanya, tidak ada dosa warisnya dalam agama Islam.

Mengapakah anak yang tidak bersalah dikenakan hukuman yang sangat zalim dan kejam malahan lebih berat dari hukuman yang dikenakan oleh ibu bapanya yang bersalah?. Kelahiran mereka tidak dinanti-nanti untuk disambut, sebaliknya cemas menunggu untuk disembunyikan di tepi-tepi longkang, masjid, tanah perkuburan, gerai makan dan ada yang tergamak dibuang dalam tong sampah, dibakar, dicekik dan sebagainya.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan selama lapan tahun bermula tahun 2000, terdapat 257,411 sijil pendaftaran kelahiran untuk anak tidak sah taraf.  Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengeluarkan statistik bermula dari tahun 2000 hingga 2006, bahawa seramai 580 bayi dibuang seperti sampah. Dari kes ini, 79 membabitkan  pembuangan bayi yang baru lahir dan empat kes pembuangan janin. (Sinar Harian, 13 Jun 2010)

Mungkin hadis palsu tadi sengaja dibuat untuk mencegah zina, tetapi mempamerkan hadis dengan maksud apa pun adalah terkutuk dan haram hukumnya. Ia termasuk sebagai pembohongan  terhadap Allah dan rasul-Nya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang sengaja berdusta terhadapku, maka bersedialah mengambil tempatnya di dalam neraka”. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah).

Dan termasuk pula dalam ancaman ini ialah orang yang menyebarkannya dengan sengaja. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang memberitakan satu hadis daripadaku yang dipandang dusta, maka dia adalah seorang dari pendusta-pendusta”. (Hadis riwayat Muslim).
Syariat Islam yang sah dari al-Quran dan hadis yang sahih sudah lebih dari cukup untuk mencegah dan membasmi kejahatan zina jika dia diamalkan dan dilaksanakan dalam masyarakat dan negara. Islam sama sekali tidak memerlukan tokok tambah tangan-tangan manusia yang berdosa.

Anak-anak yang tidak berdosa itu biarlah mereka terus hidup menghirup udara di bumi ini, usah dibenci, dicaci, dibuang dan dibunuh. Perjalanan yang dilalui di dunia ini akan menentukan mereka layak berada di mana nanti. Kalau kehidupannya diwarnai dengan cahaya iman dan amal soleh, maka dengan izin Allah mereka layak menduduki syurga dan sekiranya kehidupannya diwarnai dengan gelap iman dan amal kejahatan, maka Allah yang Maha Adil berhak menentukan tempat yang selayak untuk mereka. Janganlah kita menjatuhkan hukuman kepada mereka mendahului hukuman yang Allah tentukan untuk mereka.  

 ditulis oleh Prof Madya Dr. Rosnani Hassan Muslimah bil 221.

Wassalam~

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Assessment Peneraju Profesional Akauntan Muda Kategori B (PPAM B)

Hlovate? Siapa?

CAT? Diploma? KPTM?